Thursday, April 27, 2006

Seakan-akan seantero dunia telah kita jajah.

Apa lagi yang belum kita tempuh? Jalan ular dipalu yang merimbum hijau dedaun.Gagah si gunung, pasak buat tanah dipijak. Biru langit lapangan luas buat burung berkawan. Damai tasik yang berkabus seakan-akan merentasi alam separa sedar

Dihujung pulau, terlalu indah untuk diucap. Hampir-hampir jatuh air mata bersama pukulan ombak. Seribu gambar tak mampu mengembalikan getar di hati. Apalah yang ada pada ciptaan manusia?

Ibarat episod kedua menjelajah dunia. Bukit berpasir mengingatkan kita pada seerah Rasullulah. Bermain dan berlari-lari di kaki pasir. Bagaimana agaknya Siti Hajar keseorangan di bumi kering? Memang Allah sajalah tempat berserah

Malam menyinggah, penat menyinsing. Jalan berbatu dan malam memekat. Membuat kita mengucap selamat tinggal buat rentasan pantai memanjang. Dan tak lupa buat rezeki yang bukan milik kita. Dalam samar-samar bulan menyinar ombak menari di tepian pantai. Ada hati-hati teguh melawan kuyu mata. Asalkan teman tidak berkeroncong mencari nasi. Demi Allah, bersabarlah! Ada hikmah dalam setiap mehnah.

Sejuk subuh membuka mata. Berat hati untuk berpagi, tapi tak tersanggup mengundang murka Dia yang kita sayangi. Kejutkan teman-teman, biar berbarisan mengadap Tuhan.

Hutan sudah, laut pun sudah. Tiba masa mendakap gunung. Basah meredah sungai, becak memijak lumpur. Melaju memecut kereta comel, bersama lembu-lembu yang tertanya akan perihal manusia. Dipuncak gunung kita merenung ciptaan Allah Yang Maha Agung. Buat mereka yang sakit menunggang kuda, buat mereka yang laju memandu, dan buat mereka yang tenang berjalan-jalan mensyukuri nikmat kedamaian, sememangnya dalam diri, duduk dan baring, biar difikir langit yang mamayungi dan bumi yang dipijak kaki.

Setiap yang bermula pasti berakhir. Tapi, dalam kalut mengejar masa, jalan tersalah membawa kita ke titik mula. Dalam penat dan runsing, disitu diuji lagi. Sejauh mana kalimah ukhuwah dibibir, kita serap ke dalam hati? Jalan pulang biar jalan sehala.

Sepanjang perjalanan, aku hanya penumpang. Tidak pernah menjadi yang didepan memandu perjalanan. Disaat orang tidur melayan penat, aku kagumi mereka yang tegar menyelusuri jalan walau sesekali tersangguk melawan mengantuk. Ditambah malam sejuk menyelimut. Teman, hanya Allah sebaik-baik memberi balasan.

Tamat musafir dua hari. Seakan seantero dunia telah kita jajah. Kalau aku tanyakan apa yang engkau perolehi, aku mengharapkan biar lebih dari nikmat duniawi. Biar susah senang sepanjang jalan, menjadi bekal sepanjang jalan.

Benar, dalam kejadian alam itu tersimpan rahsia buat mereka yang mencari keredhaan Tuhan.
Benar, dalam kejadian alam ada sumber kekuatan buat mereka yang berjuang dijalan Tuhan.
Benar, dalam perjalanan ada ujian menguji ketahanan.
Benar, dalam berteman ada dugaan mengukur ukhuwah yang kita ajarkan.
Benar, tersia-sialah masa kita seandainya nikmat berjalan itu terlingkupkan setakat di dunia sahaja.
Benar, memang tidak sama orang yang tercelik matanya dengan orang yang buta.
Benar, kebenaran yang kita lihat, biar teguh dalam hati dan terzahir didiri.

Seakan seantero dunia telah kita jajah.
Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?









No comments: