Tanggungjawab. Jika dizahirkan tanggungjawab yang terletak di bahu manusia, pasti kita tidak sekali-kali sanggup melihatnya, apatah lagi menggendongnya. Mungkin kita akan mati tertindih kerana beratnya beban tanggungjawab yang ada. Tapi, Tuhan mentakdirkan tanggungjawab itu adalah satu benda yang abstrak. Tidak nampak. Maka, itulah yang banyak menipu manusia. Kita mudah mengambil mudah. Jika ditanya kepada manusia, apakah sebenarnya tanggungjawab kita kepada Yang Esa? Kita yang beragama Islam, harap-harapnya menjawab yang tugas utama kita adalah sebagai khalifah di bumi Allah. Khalifah, yakni orang yang memimpin. Maka, jika ditanya lagi, berdasar apakah kita akan memimpin manusia? Maka harapnya kita yang bergelar Islam ini lebih bijak menjawab yang panduan kita adalah berdasarkan kitab al-Furqan, yang menggariskan antara haq dan batil. Lalu berterusan lagi kita bertanya kepada manusia, bisakah akalmu menilai keseluruhan hikmah dan makna kitab pembeda itu? Maka harapnya kita yang bergelar Islam ini faham yang akal kita terlalu pendek untuk menyoal segalanya. Lalu kita sedar bahawa, praktikalnya telah jelas dalam seerah Rasulullah. Maka jelaslah manusia kini akan peranannya. Malah, jika disoal dalam soalan peperiksaan sekalipun, ia bisa menjawabnya tanpa was-was. Manusia berperanan sebagai khalifah dibumi. Memimpin manusia berpandukan kitabullah, berdasarkan contoh tauladan manusia hebat sepanjang zaman, yakni Rasulullah s.a.w. Mudah. Namun, apa yang menipu manusia adalah makhluk Tuhan juga. Yang berjanji di depan Yang Esa, yang bahawa sesungguhnya, mereka akan menyesatkan anak Adam sehingga ke hari tiupan Israfil. Syaitan itu telah berjanji. Janjinya membawa anak Adam itu bersamanya ke dalam api neraka. Janjinya akan membiarkan anak Adam itu bermain dengan angan-angan menggembirakan jiwa. Janjinya untuk membuatkn anak Adam itu terbawa arus gembira dunia. Janjinya mewarnai anak Adam dengan meriahnya dunia jahiliyyah. Segala-galanya telah kita faham. Telah pun kita hadam. Itu tanda Allah telah mengetuk pintu hati kita. Ketukan pertama. Kita berfikir tentang kebenaran. Ketukan kedua. Kita berfikir untuk berubah menjadi yang lebih baik. Tapi, syaitan yang berjanji itu tidak mengenal putus asa seperti manusia. Dia bijak mengatur perancangan. Ketukan ketiga hanya sayup-sayup kedengaran. Dalam pada membuat perubahan, mujahadah terasa terlalu meletihkan. Apa yang dibuat bagaikan tidak ada penghujung yang jelas. Malah, perjalanannya juga bagaikan kusam. Apa yang bisa dikatakan adalah, bersabarlah. Berpegang teguhlah. Istiqamahlah. Berwaspadalah akan panggilan syaitan. Jangan biar ketukan-ketukan lalu berlalu tanpa sahutan. Dan paling penting, jangan biar ketukan itu tidak lagi mengunjungi hatimu. Dalam memperbaiki diri, kita akan selalu bermonolog, mencari satu jawapan. Kadang-kadang akan merasa seperti gila. Terlalu banyak menjustifikasi ada kalanya hanyalah bisikan syaitan yang mahu kita kalah dalam perlawanan. Ajakan-ajakannya hanyalah untuk mencari teman dalam neraka jahannam. Dalam mencari jalan pulang, tiada cara pintas sepantas kilat. Tiada jalan mudah tanpa lelah. Kerana dalam mahumu mencari cinta Ilahi, ujian dan dugaan itulah yang menentukan keikhlasan. Kayu ukur harapan dalam kembara mencari Tuhan. Manisnya adalah dalam pertarungan. Gembiranya dalam tangisan yang tak henti-henti mendambakan bantuan Tuhan. Kukuhnya kepercayaan hanya dapat kita rasakan dengan yakinnya kita dengan janji-janji Tuhan. Membuang karat jahiliyyah tidaklah mudah. Malah ia menarah hati yang sedia rapuh. Tapi, pilihan itu adalah antara peneman para sahabat atau peneman syaitan laknatullah. Jalan itu sebenarnya telah terbentang dimata. Ketukan Allah itu tidak kita tahu bila akan kunjung lagi. Kesedaran itu tidak pernah aku janji akan kekal selamanya, selagi sandaran kita tidak datang dari-Nya. Kita sama-sama ingin pulang setelah terlalu lama leka. Moga Tuhan tunjukkan jalan. Moga Tuhan berikan kita kekuatan. Moga kita dijauhkan dari bisikan syaitan. Moga kita bersatu dalam misi yang satu. Moga pimpinan tangan kita utuh tidak rapuh. Moga kita dalam redha-Nya selalu. Segalanya kita niatkan kerana Tuhan. |
No comments:
Post a Comment