Ya Allah tidakku terdaya lagi Menahan dugaan yang mencabar ini Terasa bagai noktah telah kutemui Mengakhiri segala yang telah aku mulai Ya Allah engkau lindungilah aku Bekalkanlah daku dengan limpahan iman Agar tabahku menghadapi dugaan Agar tidakku berhenti di pertengahan Kalau jatuh tersungkur, biar bangun kembali walau luka badan melemahkan diri. Yang lebih penting, hati tetap teguh pada prinsip yang kita pegang. Tapi jika kita jatuh tersungkur kerana lukanya hati, mahu dongakkan kepala ke depan pun ibarat satu tikaman dari belakang, bertubi-tubi dan tiada henti. Sakitnya tak terzahir, tak ternampak mata kasar. Semangatnya merapuh bagai dimakan anai-anai. Langkahnya longlai tak bermaya. Pandangannya berkaca. Tutur bahasanya lemah bergetar menahan sebak. Lidahnya seakan beku kerana sejuk persekitarannya. Senyumnya sumbing dibuat-buat. Badannya bergerak lemah bagaikan urat sarafnya terputus dari segala apa yang mengawalnya. Lalu ia tidak boleh bangun. Lalu ia pun duduk tersungkur mengenangkan nasib. Lalu ia mengalirkan air mata. Lalu ia mula lari dari bayang-bayang sendiri. Lalu ia mula menyendiri. Lalu ia sering memandang dinding putih. Seolah-olah tertulis jawapan berdakwatkan angin bertiup. Lalu ada yang bertanya, salahkah kita berasa lemah? Tidak layakkah kita jatuh tersungkur? Tidak sepatutkah kita terluka? Adakah ruang untuk menangis kerana terguris? Mungkinkah manusia biasa itu terus menerus hidupnya indah tidak pernah merasa gundah? Aku tidak punya jawapan. Tapi, kita punya Tuhan. Dan Dialah Yang Maha Mengetahui segala isi hati. Segalanya. Baik buruk. Cantik hodoh. Ikhlas atau menunjuk-nunjuk. Biarlah hati ranap kerana dunia sekalipun, kerana telah lama kita terlupa akan nikmatNya. Layakkah kita bersuara menyoal mengapa dugaan maha hebat ini sedangkan baru sehari dua mengenal dosa. Lebih bagus diuji bertubi-tubi seandainya itu yang mendekatkan kita kepada Tuhan, dari kesenangan yang membuatkan kita bermandi dengan kejahilan. Tidak banyak jalan dalam kehidupan. Walaupun punah ranap hati kita. Walaupun habis kaki terpijak duri. Walaupun air mata dirasakan tidak bisa mengalir lagi. Walaupun diri meronta-ronta ingin berhenti. Jangan biar nafsu tidak ditawan. Bisikan halus itu adalah bisikan syaitan. Jangan biar ia punya kuasa. Jangan pernah biar ia menjadi raja. Sandaran kita hanyalah kepada Tuhan. Disaat kita merasakan kita tak punya upaya lagi meneruskan perjuangan, carilah kekuatan dari yang Maha Kuasa. Disaat kita mencari cinta, pandukan ia kepada Dia yang Maha Penyayang. Disaat kita merasakan banyaknya dosa terpalit dijiwa, carilah ampunan dari Dia yang menerima taubat hamba-hambaNya yang ikhlas setia. Kita tak punya apa. Tapi kita punya Tuhan. Kupasrahkan segala pada-Mu oh Tuhan Jangan kau palingkan hati ini dari kebenaran Andai esok nafasku terhenti di sini Kumohon jauhkan diriku dari azab-Mu |
No comments:
Post a Comment