Thursday, October 12, 2006

3:103 Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Salah satu nikmat yang Tuhan beri kepada kita adalah nikmat seorang teman. Seorang sahabat yang bersama menyelam jerit perih kehidupan, biar bagaimana bezanya ketika dan tempatnya, adalah manusia yang sering aku sandarkan kepercayaan.

Dari satu masa yang terdahulu yang aku samar-samar erti sebuah penghidupan, teman adalah seseorang yang paling aku hargai. Ketika aku cuba menggali cinta Ilahi, pengertian teman itu lebih aku fahami. Tapi, makin diselam laut dalam, makin pendek nafas, makin kabur pandangan.

Memang benar dalam ukhuwwah ada bekalan. Dan aku percaya, untuk mendapat bekalan, perlu ada cabaran. Lagi perit ditelan, lagi banyak bekalan, lagi kuat menghadapi tamparan. Siapa tahu akan perihal masa depan? Apa sahaja yang berlaku hari ini adalah persediaan untuk hari esok.

Teman-teman yang kita ada adalah sumber kekuatan kedua selepas iman. Canggung satu, lomponglah benteng pertahanan. Mudahlah syaitan laknatullah menerobos masuk ke dalam diri, lalu longlailah seorang manusia yang pernah berjanji untuk hidup dan mati dalam Islam. Lalu, menarilah syaitan yang pernah berjanji untuk memenuhkan neraka Allah dengan manusia lalai. Gugurnya manusia itu, maka akan gugurlah bersamanya perancangan untuk membina generasi Islam, dan akan terencanalah perancangan musuh-musuh Islam.

Islam datang dengan meruntuhkan segala persepsi tentang manusia, menghilangkan darjat buatan manusia. Islam datang dengan penuh kuasa fitrahnya yang membawa kepada apa yang disukai manusia. Maka, sepatutnya itulah Islam yang hadir pada diri, lalu Islam itulah yang akan terpancar dari hati. Pancaran yang menyatukan hati-hati hamba-hamba Allah, yang masih merangkak mencari erti kehidupan. Sebaya atau tidak, ikatan akidah itu aku kira lebih berharga. Sebaya atau tidak, pengertian ukhuwwah tetap digunapakai.

Mudahkah menerangkan erti sebuah ukhuwwah? Mudahkah dizahirkan dengan tingkah laku? Jika Islam sudah sepenuhnya dalam diri, pasti ia kelihatan dengan sendiri. Pertama itu hati.
Tapi kita insan lemah. Disaat tekanan kerja amat getir, ujian dalam persahabatan adalah yang terakhir kita pinta. Namun, jika ia hadir, ia adalah tarbiyyah terbaik buat diri. Sebagai bekalan masa hadapan yang akan membuahkan manisnya iman.

Jangan pernah berputus asa untuk menggali erti persahabatan.

Berkasihlah kerana Tuhan, dan segala kekurangan yang kita lihat, akan mendekatkan kita tentang besarnya kuasa Tuhan. Dia menciptakan manusia pelbagai rupa untuk menggembleng tenaga menyahut seruan. Dia menghadirkan manusia pelbagai cerita untuk mendidik kita. Dia menemankan kita dengan manusia seribu warna untuk kita sedari nikmat Islam itu adalah milik semua.

Serendah-rendah ukhuwwah itu adalah berlapang dada. Paling minimum, tapi jangan dipandang mudah. Terimalah seadanya.

Maaf seandainya aku bukan teman terhebat. Aku juga masih mendidik jiwa. Kita bersama dan moga-moga Allah bersama kita.

Jika seseorang mencintai saudaranya, maka kabarkanlah bahawa ia mencintainya (hadis riwayat Abu Dawud)


Aku sayang kalian.

No comments: